MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan Selangor sudah boleh menutup 'Misi 33'.
Turun dengan misi mengutip tiga mata penuh, skuad Gergasi Merah itu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby pada aksi keempat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kekalahan ini menyukarkan lagi laluan Selangor ke peringkat suku akhir berdasarkan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan buat masa ini.
Skuad kendalian sementara, P. Maniam wajib menang dua perlawanan sambil berharap salah sebuah daripada dua pasukan teratas, Sime Darby dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut tewas kedua-dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Namun, situasi itu mungkin agak sukar berlaku setelah kedua-dua pasukan tersebut dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini hasil dua kemenangan.
Pada aksi semalam, Selangor menampilkan persembahan agresif dan berjaya membuka jaringan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe pada masa kecederaan babak pertama.
Begitupun, Karlo Primorac meranapkan misi skuad Gergasi Merah yang terdesak memburu kemenangan pertama itu dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-79.
Selangor kini akan turun dengan misi hidup mati apabila berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang ATM pada 17 September depan sebelum menutup aksi Kumpulan A dengan bertemu Sime Darby di venue yang sama empat hari kemudian.
Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan Johor Darul Takzim (DT) turut dikejutkan 1-2 kepada T-Team dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan mereka terperosok di tangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.
Begitupun, jurulatih Harimau Selatan Azmi Mohamed optimis pasukan masih berpeluang mengintai slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
"Saya kecewa tetapi sebenarnya 14 pasukan dalam saingan ini masing-masing memiliki peluang yang cerah untuk mara ke suku akhir.
"Meskipun kami mendapat gol awal, kami gagal mengekalkan kelebihan itu dan pada babak kedua kami dihukum dengan kesilapan kami sehingga bolos dua gol.
"Keseluruhannya kami masih berjaya menguasai permainan, namun nasib tidak memihak kepada kami.
"Seperti yang saya beritahu tadi, peluang masih terbuka buat 14 pasukan ke suku akhir," katanya.
Rujukan:
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2dbLI0yTi
Rujukan:
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2dbLI0yTi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan