Percikan bunga api mewarnai ruang Stadium Wunna Theikdi dekat Nay Pyi Taw pada pembukaan rasmi Sukan SEA XXVII Myanmar yang penuh gilang gemilang, malam tadi.
NAY PYI TAW - Malaysia menggandakan buruan 40 pingat emas sebaik Sukan SEA Myanmar XXVII membuka tirai secara rasmi dalam penuh warna-warni di sini, semalam.
Kejayaan pasukan ekuestrian yang memenangi dua pingat emas semalam turut membakar semangat kontinjen negara yang akan bertarung dalam beberapa acara yang menawarkan rebutan pingat hari ini.
Acara renang akan bermula hari ini di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.
Tumpuan bakal terarah kepada perenang sensasi wanita, Khoo Cai Lin yang bersaing dalam acara 200 meter gaya bebas.
Tidak diletakkan sebagai sasaran untuk memenangi pingat emas tetapi Cai Lin sudah tentu mempunyai pengalaman bersaing dengan perenang peringkat Asia Tenggara dan melalukan sesuatu yang luar biasa.
Jika tidak berjaya dalam acara individu setidak-tidaknya dia boleh membantu kuartet 4x100m rampaian yang turut disertai Christina Loh, Erika Kong dan Nadia Adriana Redza untuk melakukan kejutan meraih emas.
Tumpuan juga harus diberikan kepada ratu kuak kupu-kupu Yap Siew Hui yang akan bertarung dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu dan pada masa yang sama mengharapkan Yap See Tuan dan Shaun Yap untuk beraksi sebaik mungkin dalam acara 200 meter kuak lentang.
Renang meletakkan sasaran meraih tiga emas dan tumpuan diberikan kepada Daniel Bego dalam acara 400m gaya bebas, Kevin Yeap (1,500m gaya bebas) dan Christina (100m kuak dada).
Sementara itu di Yangon, atlet menembak wanita yang diketuai penembak Olimpik, Nur Suryani Mohamed Taibi, Muslifah Zulkifli dan Hasliza Hamed dijangka mampu menceriakan kontinjen negara dengan meraih emas acara 50m rifle prone.
Suryani masih lagi segar dengan kejayaan di Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) 2013 bulan lepas dengan meraih lima emas manakala Muslifah pula berjaya memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Kebangsaan Menembak Oktober lalu.
Trio 50 meter pistol juga yang dibarisi Jonathan Wong, Eddy Chew dan Abdul Hadi Abdul Malek juga tidak boleh diketepikan kerana pernah berjanji bahawa mereka juga akan membawa pulang pingat emas walaupun kurang pengalaman.
Tugas getir pula menanti kedua-dua pasukan sepak takraw negara baik lelaki mahupun wanita kerana perlu berdepan Thailand dan Myanmar yang umum mengetahui bahawa sukar untuk ditumpaskan.
Badminton juga akan tertumpu kepada pemain perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang bertarung di peringkat suku akhir untuk menempah slot ke separuh akhir esok, namun lawannya juga Yuli Prasetyo Wisnu bukan calang-calang pemain. Sementara itu, upacara pembukaan rasmi Sukan SEA yang bertema ’Hijau, Bersih dan Persahabatan’ dibuka secara meriah dan berwarna warni. Ketibaan Presiden Myanmar, U Thein Sein dan isteri, Daw Khin Khin Win dan dif-dif kehormat termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di stadium disambut dengan percikan bunga api. - UTUSAN
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131212/su_01/Ganda-langkah-buru-40-emas#ixzz2nC6o2000 © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan