NAY PYI TAW - Bukan tidak mahu bersyukur dengan kemenangan tiga emas ataupun mempersoalkan perkara yang sudah berlalu tetapi mampu menjadi peringatan pada Sukan SEA yang akan datang tentang sistem pengadilan wusyu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong tertanya-tanya tentang sistem pengadilan acara wusyu yang dilihat tidak memihak kepada Malaysia dan seolah-olah taburan pingat emas diberikan sama rata kepada semua negara yang mengambil bahagian.
"Memang kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran meraih 40 pingat emas, tetapi saya agak kecewa apabila beberapa juara dunia dalam acara wusyu tewas dan kita lihat seolah-olah pingat emas ini diberikan sama rata," katanya kepada media selepas menyaksikan acara sepak takraw berpasukan wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.
Jelasnya, semua negara sekurang-kurangnya dapat memperoleh satu pingat emas dan ia perlu dilihat kembali kerana jika ada negara yang memang bagus dalam acara ini mereka berhak untuk meraihnya.
"Jika sesuatu negara itu berhak memenangi banyak pingat emas ia tidak ada masalah untuk diberikan, jadi sekarang ini timbul persoalan sama ada mereka betul-betul memilih pemenang atau sudah pilih pemenang sejak dari awal.
"Perkara ini sudah banyak diperkatakan oleh orang lain, bukan hanya dari pendapat saya sendiri," katanya yang ternyata kecewa selepas pasukan sepak takraw wanita tewas 0-3 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan semalam.
Malaysia berjaya meraih tiga emas dalam acara wusyu yang berakhir kelmarin.
Apa yang menarik atlet acara tersebut, Diano Bong Siong Lin meraih emas pertama negara di temasya ini, sementara Phoon Eyin meraih emas ke-1,000 sepanjang penyertaan Malaysia di Sukan SEA.
Satu lagi emas disumbangkan oleh Tai Cheau Xuen.
Ditanya mengenai kekalahan skuad sepak takraw wanita semalam, Zolkples berkata, seperti sedia maklum mereka tidak meletakkan harapan tinggi dalam acara tersebut baik untuk atlet lelaki mahupun wanita.
"Sekarang ini memang sepak takraw banyak menawarkan pingat emas tetapi tuan rumah sudah memenangi enam daripada 18 yang ditawarkan iaitu melalui acara chinlone, jadi mereka dijangka memenangi empat lagi dalam acara beregu.
"Kita masih lagi meraba untuk mencari emas, tetapi untuk temasya ini semasa kita menjadi tuan rumah kita boleh mempertimbangkan mahu masukkan acara chinlone atau tidak walaupun mempunya kepakaran dan kemudahan ia akan ditentukan kemudian," ujarnya.
Dalam pada itu, Zolkples juga mengakui bahawa terdapat beberapa masalah kecil di Nay Pyi Taw yang tidak dapat dielakkan, namun ia diharap tidak menjejaskan penyertaan dan tumpuan atlet negara.
"Saya sudah memberi peringatan sebelum berangkat ke sini lagi, semua perlu berhati-hati termasuk tentang keracunan makanan, kerana kita akan berada di sini dalam tempoh yang lama, ia perlu diambil perhatian yang serius.
"Saya harap atlet perkara seperti ini tidak jejaskan prestasi pasukan, pegawai perubatan kontinjen akan mengambil tindakan sewajarya, tetapi ini bukan alasan untuk tidak menunjukkan prestasi yang baik," katanya. - UTUSAN
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131212/su_05/Zolkples-persoal-sistem-pengadilan-wusyu#ixzz2nD9KnPPL © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan