Rabu, 4 Disember 2013

Harimau Muda dapat tonik

 Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 
MOHD. Rozaimi Abd. Rahman meledak gol kedua Harimau Muda ketika menentang Ryukyu FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi. Malaysia menang 3-1. - UTUSAN/Aizzul A.Majid
PETALING JAYA - Kemenangan ke atas FC Ryukyu tiba tepat pada masanya, pada ketika skuad Harimau Muda mencari tonik terbaik untuk meningkatkan keyakinan sebelum memulakan kempen memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA di Myanmar, minggu depan.

Biarpun sekadar aksi persahabatan, kemenangan 3-1 ke atas kelab Jepun itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya melonjakkan semangat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Temasya Laos 2009 dan Indonesia 2011.

Malah, kemenangan itu juga meningkatkan motivasi Kim Swee sendiri, yang sebelum ini resah kerana dihimpit masalah kecederaan tonggak utama. Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Gary Steven Robbat antara pemain yang disahkan terlepas peluang beraksi di Myanmar .

Sejurus tamat perlawanan, Kim Swee berkata, beliau sudah mendapat gambaran jelas dan yakin dengan senarai 20 pemain yang akan dibawa untuk menggalas tugas berat di Myanmar.

"Ada beberapa pemain yang telah membuktikan bahawa mereka boleh bermain dalam dua posisi dan inilah perkara yang saya mahukan.

"Saya dapat lihat pada separuh masa kedua corak permainan menjadi lebih baik terutama selepas memasukkan Mohd. Rozaimi (Rahman) dan K. Reuben.

"Secara keseluruhannya masih ada beberapa aspek lagi yang perlu diperkemaskan oleh pasukan sebelum ke Myanmar nanti," kata Kim Swee.

Pada perlawanan tersebut Harimau Muda A bermula dengan baik apabila berupaya melakukan beberapa percubaan bagi mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, kelekaan melakukan serangan dengan membiarkan jentera pertahanan tanpa pengawasan menyebabkan Harimau Muda A dihukum apabila FC Ryukyu berjaya mendapatkan gol awal pada minit ke-13 hasil jaringan Takahashi Shunta.

Gol pertama pasukan lawan seakan memberikan tekanan kepada skuad Kim Swee hingga menyebabkan jentera serangan gugup ketika meraih peluang terhidang pada minit ke-35 dan minit ke-36.

Bermula babak kedua menyaksikan Harimau Muda A kembali bangkit bagi menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan penyerang, A. Thamil Arasu minit ke-47.

Keyakinan dalam skuad kebangsaan mula terserlah apabila berupaya mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-50 hasil rembatan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman sebelum menambah gol ketiga ketika masa kecederaan.

Pada separuh masa kedua juga menyaksikan jentera pertahanan Harimau Muda A berfungsi dengan baik berbanding babak pertama.

Kempen Malaysia untuk memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA bermula dengan menentang Brunei dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 10 Disember.

Selepas berehat dua hari, mereka akan menentang Laos pada 13 Disember, diikuti Singapura (15 Disember) dan Vietnam dalam saingan terakhir kumpulan pada 17 Disember.

Seandainya berjaya melangkah ke separuh akhir, mereka perlu turun ke padang pada 19 Disember, diikuti perlawanan akhir pada 21 Disember.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131205/su_01/Harimau-Muda-dapat-tonik#ixzz2mYFxmcOI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan