Isnin, 18 November 2013

Lawan habis-habisan


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


 

Mohd. Fadhli Shas (kanan) dan Safee Sali (tiga dari kiri) berlatih bersama rakan sepasukan di Stadium Shah Alam, semalam menjelang pertemuan menentang Qatar dalam kelayakan Piala Asia 2015, malam ini. - UTUSAN/ MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
PETALING JAYA - Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menyeru anak-anak buahnya agar berjuang habis-habisan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Stadium Shah Alam, hari ini.

Menurut Subahan, andai berpeluang berjumpa dengan pemain sebelum perlawanan hari ini, perkara pertama yang ingin disampaikannya ialah menyentuh tentang harapan menggunung seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia mara ke Piala Asia 2015 di Australia.

"Kemenangan esok (hari ini) bukanlah kepentingan peribadi pemain tetapi untuk negara. Jika berjaya melayakkan diri ke Australia ia adalah satu sejarah baharu buat kita," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dekat Kelana Jaya, semalam.

Jelasnya, hari ini adalah misi hidup mati buat Harimau Malaya dan kalau boleh sehingga muntah darah sekali pun pemain-pemain harus berbuat demikian dengan memberikan segalanya yang ada berbekalkan komitmen yang tinggi.

"Mereka perlu menyempurnakan segala peluang yang ada, jangan ada ruang untuk melakukan sebarang kesilapan. Anggaplah perlawanan ini sebagai perlawanan akhir Piala Dunia. Esok (hari ini) adalah penentuan untuk kita melayakkan diri ke Australia.

"Komitmen yang saya jelaskan di sini bukan sahaja daripada pemain tetapi jurulatih dan juga penolong jurulatih serta seluruh pasukan. Penyokong juga harus turun dengan bersemangat dan ini adalah moral untuk kita mengalahkan Qatar," katanya.

Malaysia masih lagi dihantui dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Bahrain Jumaat lalu, seterusnya menyukarkan peluang untuk mara sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan D, namun mereka masih lagi mempunyai satu lagi harapan menjadi pasukan tempat ketiga terbaik daripada pasukan yang beraksi di peringkat kelayakan.

"Saya cukup yakin kita mampu mengutip mata penuh dan pemain akan melakukan yang suka atau tidak suka kita harus menang. Harapan besar penyokong adalah mahu kita mara ke Piala Asia 2015, perlawanan terakhir bertemu Yemen di tempat lawan bukan menjadi masalah buat kita.

"Apa yang penting adalah perlawanan esok, memang ada yang mengkritik kita kalah kepada Bahrain namun kita harus menerima hakikat mereka adalah pasukan yang bagus. Mereka pernah mengalahkan Qatar, kita pula bukan mudah untuk mencatat kemenangan di tempat lawan tempoh lalu," katanya.

Pada pertemuan pertama, Malaysia tewas 0-2 kepada Qatar.

Subahan berkata, bermain di gelanggang sendiri adalah peluang terbaik buat Malaysia untuk menang. Segalanya telah dibuktikan pada pertemuan dengan Bahrain bulan lepas di Stadium Shah Alam di mana Malaysia mampu meraih tiga mata.

"Jadi pertemuan dengan Qatar ini juga sama, pemain perlu bersemangat untuk mara ke Australia. Saya harap penyokong datang beramai-ramai untuk membantu kami mencipta sejarah. Saya hendak memberitahu kepada pengkritik sebelum ini Harimau Malaya tidak berjaya mengutip mata dalam perlawanan kelayakan.

"Sekarang kita mampu mengutip mata, peluang masih ada. Kita juga adalah antara terbaik di Asia Tenggara, lebih bagus daripada Thailand. Jadi tidak ada apa untuk dimalukan sekarang," katanya yang menekankan bahawa pemain masih lagi mempunyai moral yang tinggi untuk menang.
RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131119/su_01/Lawan-habis-habisan#ixzz2l2ilSVpy© Utusan Melayu (M) Bhd







Tiada ulasan:

Catat Ulasan