Jumaat, 29 November 2013

Nazri Ahmad sah milik The Red Warriors

 Oleh YATIMIN ABDULLAH

utusankelantan@utusan.com.my
 
Kevin Ramalingam (kiri) bersama Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika memperkenalkan barisan pemain baharu The Red Warriors pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, kelmarin.
KOTA BHARU - Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd, Kevin Ramalingam semalam menegaskan, pemain pertahanan, Muhamad Nazri Ahmad yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Kelantan musim depan sah milik The Red Warriors.

Bekas tonggak Johor Darul Takzim (Johor DT) itu telah menandatangani kontrak bersama Kelantan untuk tempoh tiga tahun bermula musim 2014 nanti.

Kevin berkata, pemain itu memberitahu pihaknya bahawa kontrak bersama Johor DT sebelum ini sudah tamat dan dia bebas untuk membuat pilihan.

"Nazri telah memberitahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi, kita telah mengemukakan tawaran kepada pemain tersebut dan dia bersetuju dengan syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak tersebut.

"KAFA berpegang kepada kata-kata Nazri yang memberitahu dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi sebab itulah kita kemukakan tawaran.

"Jika Nazri telah mempunyai kontrak dengan pasukan lain, KAFA sama sekali tidak akan mengemukakan tawaran kepadanya kerana ia bercanggah dengan peraturan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu perpindahan Nazri yang menimbulkan persoalan apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendakwa pemain itu sudah mengandatangi kontrak untuk bersama Red Giants .

Tambahnya, Kelantan sebelum ini pernah berdepan masalah yang sama apabila beberapa pemainnya berhijrah ke pasukan lain biarpun pada asalnya telah menyatakan persetujuan dengan menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU).

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu, tindakan pemain berkenaan jelas tidak profesional memandangkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membayar pampasan kepada Nazri kerana kontraknya hanya akan berakhir pada 30 November ini.

Kevin berkata, Nazri mengakui, ada bertemu dengan pihak FAS namun dia tidak menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Selangor musim hadapan.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai niat untuk mengambil pemain pasukan lain jika mereka masih ada kontark.

"Kita terkejut dengan perkara ini, namun KAFA menyalahkan Nazri mungkin dia kurang arif. Saya cadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mewujudkan ejen berdaftar dalam menguruskan hal berkaitan dengan perpindahan pemain.

"Langkah ini bagi mengelakkan isu sebegini kembali berulang pada masa hadapan," ujarnya lagi.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131128/su_02/Nazri-Ahmad-sah-milik-The-Red-Warriors#ixzz2ltILV900

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan