Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Jurulatih
skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terburu-buru
dalam menguji barisan kesebelasan terbaiknya apatah lagi menyedari pasukannya
bakal diintip pencabar dari negara jiran Singapura apabila mereka turun beraksi
pada perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Takzim II (DT II) di Stadium
Pasir Gudang malam ini.
Beliau yang baru dilantik
oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih sementara Harimau
Malaya berkata, beberapa pemain utama termasuk kapten Irfan Fazail, Zubir Azmi
dan D Sarvindran yang mengalami kecederaan kecil akan direhatkan dalam perlawanan
dengan kelab Liga Perdana itu bagi persiapan ke Sukan SEA Myanmar awal bulan
depan.
“Saya tidak mahu mengambil
risiko menurunkan pemain yang masih belum pulih sepenuhnya dan ini peluang
untuk saya menguji beberapa kombinasi baru. Saya juga tahu Singapura akan
datang menyaksikan perlawanan esok (hari ini) jadi saya fikir tidak perlulah
kita mendedahkan kekuatan sebenar kita,” katanya.
Tambahnya, beliau masih
mempunyai masa untuk menguji barisan terbaiknya apabila skuad B-23 bakal
berdepan perlawanan pemanas badan terakhir dengan kelab Jepun FC Ryukyu pada 4
Disember ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Foto
KIM Swee (tengah)
memerhatikan pemain melakukan latihan di Johor Bahru, semalam.
“Kecederaan pemain boleh
berlaku pada bila-bila masa cuma saya menasihati pemain agar lebih berhati-hati
dan saya akan menurunkan kesebelasan terbaik ketika menentang FC Ryukyu dalam
tempoh 60 hingga 70 minit permainan,” jelas Kim Swee.
Krisis kecederaan pemain
terus menghimpit skuad muda negara itu apabila mereka kehilangan beberapa
pemain utama iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Gary Steven Robbat,
Syahrul Azwari Ibrahim dan terbaru Junior Eldstal dan Nik Shahrul Azim Abd
Halim.
Bukan itu saja, Kim Swee
perlu mencari jalan untuk memantapkan pasukannya yang sudah tidak dapat
menggunakan pemain yang mempunyai karektor hebat kerana faktor umur seperti
Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra
Omar ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia pada 2011.
“Saya kehilangan ramai
pemain kerana masalah kecederaan tapi saya yakin pemain yang ada masih boleh
menggalas tugas dengan baik. Saya akui ini cabaran lebih hebat berbanding di
Jakarta kerana dulu saya mempunyai mempunyai pemain berpengalaman seperti Apek (Khairul
Fahmi), Baddrol dan Mahali. Saya berharap pemain yang akan diberi peluang
bersedia untuk memikul cabaran ini,” katanya.
Ia juga pasti cabaran
berbeza Kim Swee di Myanmar kali ini apabila ramai pihak mahu melihat sejauh
mana kemampuannya menyempurnakan misi hatrik emas Sukan SEA selepas beliau
dilantik menggantikan ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal yang
tamat kontrak pada 31 Disember ini.
“Tekanan akan sentiasa ada
apatah lagi dengan pelantikan sebagai jurulatih sementara ini tapi bagi saya
apa yang penting adalah mempersiapkan pasukan ini sebelum ke Sukan SEA,”
katanya.
Pada Sukan SEA kali ini,
Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama-sama Vietnam, Singapura, Laos dan
Brunei.
Rujukan:
Artikel ini disiarkan pada
: 2013/11/29
Tiada ulasan:
Catat Ulasan