KUALA LUMPUR - Isu kualiti padang
Stadium Nasional Bukit Jalil yang kurang memuaskan timbul lagi dan kali ini melibatkan
aksi berprofil tinggi iaitu perlawanan persahabatan Malaysia-Barcelona 10 Ogos
ini.
Perkara itu didedahkan Setiausaha
Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, yang
berkata, berdasarkan kunjungan pertama wakil kelab Catalan itu yang memeriksa
padang di Stadium Nasional, mereka ternyata tidak berpuas hati.
Begitupun Hamidin tetap optimis bahawa
masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin dengan jaminan telah diberikan
pihak Perbadanan Stadium Merdeka ia akan memperbaikinya dalam tempoh 10 hari.
"Wakil dari Barcelona yang
memeriksa padang baru-baru tidak gembira tetapi saya yakin perkara ini dapat
diatasi secepat mungkin.
"Keadaan padang akan cuba
diselenggara dengan baik dalam masa 10 hari dan saya jamin ia akan berada pada
tahap terbaik bagi menghadapi Barcelona nanti, jangan bimbang," katanya
pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola perlawanan
persahabatan Malaysia dan Barcelona, semalam.[1]
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif
BSC Soccer Malaysia, Effendi Jagan Abdullah dan Ketua Jawatankuasa Ekekutif
iM4U, Datuk Irmohizam Ibrahim.
Masalah padang Stadium Nasional
bukanlah isu baru kerana saban tahun masalah itu menjadi perhatian setiap kali
perlawanan-perlawanan penting dianjurkan.
Kebanyakan pasukan tidak berpuas hati
dengan kualiti padang kerana rumputnya yang mudah tercabut kerana menggunakan
rumput jenis 'Marimo Paspalum'.
Pertahanan Kelantan, S. Subramaniam
tahun lalu pernah menyifatkan keadaan padang di Stadium Nasional cukup keras
bagaikan beraksi di atas batu semasa dia membantu pasukannya pada saingan Piala
AFC berdepan kelab Vietnam, Navibank Saigon.
Hamidin mengesahkan Barcelona akan
tiba di Kuala Lumpur pada 8 Ogos, iaitu pada hari raya pertama dan akan
menjalani latihan terbuka di Stadium Nasional pada keesokannya pada pukul 7.30
malam.
"Barcelona akan mengadakan
latihan secara tertutup di Stadium Shah Alam dan akan menemui peminat ketika
latihan terbuka di Stadium Nasional dari pukul 7.30 hingga 8.30 malam,"
katanya.
Setakat ini kira-kira 15,000 tiket
telah terjual dengan pihak penganjur mensasarkan semua 87,000 tiket akan
terjual.
Semua pemain utama Barcelona akan tiba
ke Kuala Lumpur termasuk pengurus baru, Gerardo 'Tata' Martino.[2]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan