Isnin, 23 September 2013

Alex Miller sedia ganti Rajagobal


PENGALAMAN luas Miller (kanan) di pentas Eropah menjadikan beliau antara calon terbaik membimbing Harimau Malaya.


BEKAS jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller secara terbuka menyuarakan hasratnya untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dengan skuad Harimau Malaya.
Lebih tepat, Miller berazam membantu Harimau Malaya memperbaiki ranking dunia jika beliau diberikan peluang untuk menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih.
Miller, antara salah seorang calon daripada 40 jurulatih yang mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya, bertugas sebagai jurulatih utama Liverpool ketika di bawah bimbingan bekas pengurus, Rafael Benitez.
Selain The Reds, pengendali kelahiran Scotland berusia 64 tahun itu turut memiliki pengalaman melatih pasukan Liga Divisyen Satu Jepun, JEF United Chiba.
Justeru, Miller yakin dengan pengalaman sedia ada, beliau optimis mampu mengangkat nama Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi.
"Asia bukanlah satu tempat asing bagi saya meskipun saya lebih banyak meluangkan masa di Eropah tetapi saya pernah melatih pasukan dalam Liga Jepun selain pernah beraksi bersama pasukan Hong Kong (South China AA).
"Saya cukup memahami budaya Asia yang mana faktor ini adalah paling mustahak bagi jurulatih kerana saya harus mengetahui untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.
"Saya yakin dengan kemampuan, pengalaman dan ilmu yang ada, saya berusaha untuk menaikkan lagi imej pasukan kebangsaan Malaysia (Harimau Malaya) pada kedudukan ranking FIFA," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Miller, kejayaan beliau menjulang trofi Liga Juara-Juara 2005 bersama Liverpool dan menjadi watak penting membawa Scotland ke pentas Euro serta Piala Dunia memberikannya lebih motivasi untuk membimbing Harimau Malaya.
"Sebagai jurulatih berpengalaman, saya memiliki pengetahuan yang cukup meluas mengenai soal taktikal, teknikal dan fizikal dalam sukan bola sepak di tahap tertinggi ketika bersama Liverpool.
"Malah, saya juga pernah terbabit secara langsung dengan bola sepak peringkat antarabangsa semasa saya menjadi Penolong Pengurus Scotland yang merupakan kali terakhir layak ke Kejohanan Eropah 1996 dan Piala Dunia 1998," katanya.
Selain Miller, bekas pengendali Jepun, Phillippe Trouisser dan legenda Jerman, Rudi Voller turut dikaitkan sebagai pengganti Rajagobal yang kontraknya akan tamat pada 31 Disember depan.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/24.9.2013 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan