Jumaat, 6 September 2013

Julang piala jadi hadiah terbaik kemerdekaan





KETUA pasukan Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bertekad menghadiahkan trofi kejuaraan Pestabola Merdeka 2013 yang bermula hari ini di Kuantan, Pahang kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan kemerdekaan negara ke-56.
Irfan (gambar kecil), 22, yang merupakan tonggak tengah skuad Harimau Muda negara kendalian Ong Kim Swee itu mengakui pasukan negara berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
Katanya, para pemain akan berjuang bermati-matian bagi memastikan Malaysia menjulang trofi Pestabola Merdeka buat kali ke-10 sejak ia mula dipertandingkan pada 1957.
"Sememangnya saya bersama rakan sepasukan bertekad menghadiahkan trofi kejuaraan kali ini buat seluruh rakyat Malaysia.
"Kejohanan ini ada magisnya tersendiri kerana diadakan sempena bulan kemerdekaan negara dan kami berharap semangat kental para pejuang negara dapat dihayati pemain ketika menentang Singapura nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.
Menyentuh pertemuan dengan Singapura petang ini, Irfan berkata, dia sedar tugasan berat menanti pasukan Harimau Muda kerana skuad kendalian V. Sundramoorthy itu yang dibarisi sebahagian besar pemain Lions XII sangat mantap di setiap posisi.
Bagaimanapun, jelasnya jurulatih negara sudah ada strategi tersendiri untuk memerangkap skuad Singa itu yang pasti mempertaruhkan beberapa pemain tonggak seperti Hariss Harun, Fazrul Nawaz, Shahfiq Ghani dan Izwan Mahbud.
Sementara itu, penyerang, Md. Rozaimi Ab. Rahman berharap akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama negara dalam perlawanan bertemu skuad negara jiran itu.
Katanya, dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan menjaringkan gol serta membantu kemenangan buat pasukan negara.
"Jika diberi peluang, saya berazam membuktikan kemampuan sebenar. Saya sudah tidak sabar untuk turun bagi menyarung jersi negara dan menghadiahkan kejuaraan Pestabola Merdeka ini buat seluruh peminat bola sepak tanah air.
"Saya berharap para peminat membanjiri Stadium Darulmakmur bagi membakar semangat kami dan kami janjikan aksi terbaik buat mereka," katanya.
Selepas bertemu Singapura, skuad negara akan menghadapi dua lagi aksi menentang lawan kental iaitu Myanmar pada Isnin dan Thailand (Rabu).
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo 7.9.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan