Sabtu, 14 September 2013

Terima kasih menyokong kami

Rozaimi (kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol sulung Malaysia menentang Myanmar pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. - BERNAMA
KUANTAN - Kemenangan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 adalah hadiah terbaik bagi menyambut Hari Malaysia pada hari esok dan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menyifatkan, kejuaraan ini adalah cukup bermakna kepada kariernya sebagai seorang jurulatih.
Tidak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh penyokong setia negara yang hadir, dia berharap kejuaraan ini akan membangkitkan lagi moral pasukan sebelum bersiap sedia dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar.
"Kejayaan ini cukup manis kerana kita baru sahaja melalui bulan kemerdekaan dan paling penting pada seluruh rakyat negara ini yang akan menyambut Hari Malaysia tidak lama lagi.
"Tidak lupa saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada penyokong yang hadir terutama pada perlawanan akhir kerana memberikan semangat kepada semua pemain untuk beraksi dengan begitu baik," katanya.
Kim Swee juga memuji semua pemain yang menunjukkan aksi yang cukup konsisten sambil berharap mereka tidak akan leka dengan kejayaan ini kerana perjuangan sebenar di Sukan SEA bakal menanti.
Malah, dia memberikan amaran Myanmar pasti akan bertambah dendam kepada Malaysia selepas dua kali kalah di sini dan akan mempertingkatkan lagi prestasi serta memperbaiki kelemahan dalam masa beberapa bulan ini.
"Semua pemain telah beraksi sebagai satu unit dan melakukan tugasan dengan baik, dua gol itu cukup berkualiti hasil pergerakan dan kerjasama sesama mereka.
"Kita harapkan bukan pada hari ini sahaja mereka mempamerkan aksi bersungguh-sungguh sebaliknya pada kejohanan lain dan pada Sukan SEA nanti.
"Jangan terlalu dibuai kejayaan ini kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan diharapkan apabila semua pemain berkumpul sekali lagi pada penghujung November nanti, kita akan dapat kumpulkan barisan terbaik," katanya.
Sementara itu, ketua pasukan negara, Mohd. Irfan Fazail mengakui kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka sebagai satu pengalaman cukup manis dan berharap apa yang mereka lalui tidak akan berakhir setakat kejohanan ini.
"Syukur, kemenangan yang dicapai ini bukan sesuatu yang mudah dan berasa gembira kerana mampu menggembirakan seluruh penyokong yang hadir ke stadium hari ini.
"Walaupun kami berasa sedikit cemas pada mulanya selepas gagal mendapatkan gol kedua namun kami bertahan dengan sedaya upaya dan jaringan Junior memastikan kemenangan adalah milik kami," katanya yang ditemui selepas perlawanan.



Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130915/su_02/Terima-kasih-menyokong-kami#ixzz2eub2QwYe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan