Sabtu, 14 September 2013

Nicol mara ke aksi akhir Terbuka Malaysia CIMB

Oleh DHIYA'ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my
NICOL (kanan) membalas hantaran Camille Serme pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2013 di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. Nicol menang 12-10, 11-7 dan 11-6. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR - Kekecewaan Datuk Nicol David terhadap kegagalan skuasy ke Sukan Olimpik 2020 sekurang-kurangnya reda apabila beliau mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2013 di sini, semalam.
Nicol yang bermain di hadapan ratusan penyokong yang memenuhi Centre Court, The Curve Mutiara Damansara memerlukan masa 42 minit untuk mengalahkan pilihan ke-10 dari Perancis, Camille Serme 12-10, 11-7, 11-6.
"Ini adalah perlawanan separuh akhir, pastinya perlawanan yang penting dan sukar. Saya telah bersedia untuk berikan aksi terbaik dari set pertama.
"Camille seorang pemain yang bagus, dia bermain dengan pantas dan tentunya saya berasa sungguh seronok dengan perlawanan hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Bagi aksi final kedua berturut-turut bertemu juara bertahan 2012, Raneem El Weleily, Nicol berkata, rehat yang cukup begitu penting untuk memastikan dirinya dapat memberikan persembahan terbaik.
"Saya cuma perlu pastikan dapat rehat yang secukupnya untuk bermain perlawanan akhir, esok (hari ini) dan pastinya ingin memenangi perlawanan akhir ini untuk menebus kekecewaan tahun lalu kepada Raneem," kata pemain berusia 30 tahun itu.
Nicol telah merangkul gelaran juara Terbuka Malaysia sebanyak tujuh kali bermula edisi 2005 hingga 2011 sebelum tumbang kepada Raneem pada perlawanan akhir 2012 yang menyaksikan ratu skuasy negara itu hanya bergelar naib juara.
Dalam pada itu, Raneem berjaya mengulangi pencapaian tahun lalu apabila mengalahkan Laura Massaro dari England dalam pertarungan sengit 8-11, 11-9, 12-10, 10-12, 11-9.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130915/su_03/Nicol-mara-ke-aksi-akhir-Terbuka-Malaysia-CIMB#ixzz2eucszotq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan