Rabu, 4 September 2013

Lions XII dilabel 'anak emas' FAM.

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
AKSI antara Sarawak dan Lions XII dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 24 Ogos lalu.


JUARA Liga Super, Lions XII sekali lagi menerima 'layanan istimewa' daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Selepas mendapat 'lampu hijau' untuk menyenaraikan 10 pemain berusia lebih 23 tahun ketika kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, Lions XII seakan-akan 'kebal' apabila tidak akan 'diturunkan pangkat' ke saingan Liga Premier sehingga 2015 meskipun menduduki tangga tercorot Liga Super.
Ia berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum ini.
Terbaharu, FAM memberi kebenaran kepada skuad kendalian V. Sundramoorthy itu untuk beraksi lewat sehari berbanding kesemua perlawanan lain ketika melayan kunjungan Sarawak di Stadium Jalan Besar, Singapura dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia pada 18 September depan.
Situasi itu jelas mengundang kemarahan pengendali Bujang Senang, Robert Alberts apabila beliau hanya memiliki tempoh rehat yang terhad sebelum melayan kunjungan Perak di Stadium Negeri, Petra Jaya pada aksi terakhir Kumpulan D tiga hari kemudian.
Difahamkan, pindaan tarikh perlawanan itu disebabkan Lions XII beraksi pada Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 14 September ini.
'Layanan istimewa' yang diterima Lions XII itu jelas tidak disenangi majoriti peminat bola sepak tempatan terutama penyokong Sarawak yang mahu FAM bersikap lebih adil.
Tambahan pula, Lions XII pasti memiliki momentum selepas mengharungi Pestabola Merdeka berbanding Bujang Senang yang hanya akan kembali beraksi selepas aksi Piala Malaysia direhatkan lebih dua minggu.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah tidak dapat mengulas lanjut mengenai pindaan tarikh perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan berkenaan.
"Saya masih belum menerima maklumat daripada pegawai saya berhubung perkara itu," katanya ringkas kepada Kosmo! semalam.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan hasrat Alberts yang telah memohon Persatuan Bola Sepak Sarawak supaya mendapatkan penjelasan daripada FAM berhubung perkara itu.
Alberts yang kecewa dengan perkara itu berkata, situasi tersebut akan memberikan kelebihan kepada Lions XII terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan pindaan tarikh berkenaan.
"Pasukan Lions XII telah mengemukakan permohonan berkenaan kerana terlibat dalam Pestabola Merdeka," jelas beliau.
Rujukan: http://www.Rkosmo.com.my/kosmo.4.9.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan