PENGENDALI Singapura, V. Sundramoorthy mendakwa keadaan padang yang dipenuhi air sebagai punca kekalahan 0-1 kepada Harimau Muda pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.
Sebelum perlawanan bermula, hujan lebat turun di Kuantan dan menyebabkan padang itu ditakungi air.
Sundramoorthy berkata, keadaan padang yang dipenuhi air itu telah 'merosakkan' tempo permainan pasukan kendaliannya sehingga mereka tidak mampu bergerak serta menyepak bola dengan sempurna.
"Saya berharap pada aksi kedua nanti keadaan cuaca dan padang memihak kepada kami. Saya percaya para pemain saya akan bangkit selepas ini.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam perlawanan sebentar tadi (semalam) walaupun kami datang ke Kuantan tanpa enam atau tujuh pemain utama," kata Sundramoorthy.
Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun kebanyakan pemain yang dibawa ke sini adalah pemain-pemain kurang berpengalaman, beliau memuji keserasian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam aksi bertemu Harimau Muda itu.
Beliau turut mengakui sangat terasa ketiadaan penyerang utama, Hariss Harun dan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tidak disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana komitmen bersama skuad senior.
"Saya akui Hariss dan Izwan mempunyai pengaruh besar dalam skuad ini. Kehadiran mereka dalam pasukan bakal menambah keyakinan seluruh pemain namun saya tidak kecewa kerana saya percaya dengan barisan yang saya miliki ketika ini.
"Saya juga mahu mereka (pemain) melupakan kekalahan ini seterusnya memberi tumpuan kepada dua aksi berikutnya dan tidak mustahil kita (Singapura-Malaysia) akan bertemu di final," katanya.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.8.9.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan