LONDON - Sergio Aguero percaya Manchester United dan Chelsea merupakan dua pencabar utama Manchester City dalam kempen Liga Perdana England musim ini.
Selain itu, penyerang berusia 25 tahun itu yang membantu The Citizens menamatkan kemarau trofi liga selama 44 tahun dua musim lalu turut memasang impian memburu anugerah Kasut Emas musim ini.
Pada masa sama, Aguero juga memuji pendekatan pengurus baharu, Manuel Pellegrini sejak tiba di Etihad Jun lalu.
"United pastinya cuba mempertahankan trofi yang dimenangi mereka di bawah kendalian pengurus baharu.
"Chelsea juga tidak kurang berbahaya kerana tampil di bawah sentuhan Jose Mourinho.
"Cuma, kami juga dikendalikan pengurus baharu. Sudah tentu kesemua pasukan memiliki peluang seimbang musim ini," kata Aguero.
Aguero juga percaya semangat juang pemain The Citizens jauh lebih baik musim ini.
"Setiap pengurus berbeza, tetapi pemain gembira dengan apa yang diamalkan Pellegrini.
"Dia gemar berbincang bersama pemain, selain hubungan baik dengan pemain-pemain baharu juga menakjubkan.
"Saya harap dapat meledak banyak gol musim ini bagi merampas semula trofi liga.
"Asalkan kami memenangi perlawanan demi perlawanan, saya sudah cukup gembira," jelasnya. - Rujuk: http://www.kosmo.com.my/kosmo.7.9.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan