Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMINdayne.ghazali@utusan.com.my
Pasukan Malaysia menjalani latihan di padang Akademi Bola Sepak
Malaysia dekat Gambang, semalam sebagai persiapan menentang Myanmar pada aksi
kedua Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini. -
utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Selepas membaham Singa, Harimau
Muda semakin garang mahu menjadikan Myanmar sebagai mangsa seterusnya dalam
saingan Pestabola Merdeka 2013 malam ini.
Biarpun kesan kekalahan pada pusingan kelayakan Piala AFC
Bawah 22, tahun lalu di tangan Myanmar masih terbayang oleh para pemain, Ong
Kim Swee tidak mahu dendam dijadikan sebagai motivasi mencari kemenangan sambil
menyifatkan pasukan Myanmar yang tiba di kejohanan ini bukanlah sebuah pasukan
yang asing pada pandangannya.
Menyenaraikan Kyi Lin, Kyaw Ko Ko dan ketua pasukan, Kyaw
Zayar Win sebagai tiga pemain Myanmar yang perlu diberi perhatian, dia
mengetahui segala kekuatan dan kelemahan pasukan yang dilabel White Angels.
"Seperti mana kejohanan lalu (kelayakan Piala AFC
Bawah 22), majoriti pemain mereka masih sama dan berdasarkan apa yang saya
lihat semasa berdepan Thailand, pasukan ini cukup laju dalam melakukan
serangan.
"Saya tidak percaya pada dendam kerana jika kita
fikirkan mengenai dendam, itu akan memberikan satu perasaan yang tidak elok
kepada kami. Apa yang penting kami telah mempelajari sesuatu daripada kekalahan
dulu untuk menewaskan Myanmar selepas ini.
"Myanmar merupakan sebuah skuad yang sentiasa
menggunakan pemain-pemain yang sama untuk perlawanan antarabangsa dan mereka
dilihat semakin bertambah baik.
"Pemain nombor tujuh iaitu ketua pasukan (Zayar Win)
merupakan perancang utama, pemain nombor lapan (Kyi Lin) cukup pantas dan
mempunyai skil menggelecek yang hebat dan pemain nombor sepuluh (Kyaw Ko Ko)
sering kali mampu memberikan banyak masalah kepada pertahanan lawan,"
katanya pada sidang akhbar pengurus pasukan di sini, semalam.
Pada 3 Julai lalu, Myanmar yang layak ke pusingan akhir
Piala AFC Bawah 22 dengan cara kontroversi kerana menggunakan pemain yang lebih
umur berjaya menundukkan Malaysia 2-1 di Yangon sekali gus meranapkan impian
negara yang sekadar berada di tempat ketiga Kumpulan G di belakang Korea
Selatan dan Myanmar.
Tiga lagi mata akan membawa Malaysia semakin pasti ke
perlawanan akhir pada 14 September dan itu yang mahu dicari oleh Kim Swee
apabila melakukan perhitungan penting berdepan Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan