Sabtu, 14 September 2013

Harimau Muda juara

Harimau Muda juara



SKUAD Harimau Muda muncul juara Pestabola Merdeka 2013 selepas menang bergaya 2-0 ke atas Myanmar pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam tadi.
Skuad Harimau Muda ternyata mendominasi permainan pada separuh masa pertama perlawanan dengan melancarkan serang bertali-arus ke kubu Myanmar.
Seawal minit kedua, penyerang, Md. Rozaimi Abdul Rahman gagal menyambar bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung.
Selepas itu, peluang Harimau Muda menghasilkan gol pada minit kelapan turut gagal apabila seorang lagi penyerang negara, A. Thamil Arasu melepaskan rembatan padu ke arah gawang lawan namun, penjaga gol lawan, Phyo Aung bijak menafikannya.
Pada minit ke-11, peluang tiba lagi, kali ini menerusi sepakan percuma yang diambil oleh kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail.
Mohd. Irfan melepaskan sepakan lencong menarik dan penjaga gol Myanmar hanya mampu menumbuk bola keluar namun Syahrul Azwari Ibrahim yang membuat susulan sekadar melepaskan rembatan liar.
Selepas itu, pada minit ke-17, Harimau Muda terus bernafsu mencari gol pendahuluan menerusi Putera Nadher Amarhan, namun rembatannya sedikit tersasar.
Memasuki minit ke-19, giliran Myanmar pula mendapat peluang namun asakan mereka mudah dibaca benteng pertahanan Harimau Muda.
Pada minit ke-28, Myanmar mendapat satu lagi peluang, kali ini menerusi satu sepakan percuma dan ketua pasukannya, Kyaw Zayar Win yang mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya.
Gol yang dicari-cari skuad Harimau Muda akhirnya muncul berpunca daripada larian pantas pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-29.
Wan Zack yang berjaya melepasi dua pertahanan Myanmar kemudian melepaskan rembatan padu ke arah gol Myanmar yang gagal ditangkap kemas penjaga golnya.
Rozaimi yang berada di depan gol tidak mensia-siakan peluang dan penyerang berasal dari Sabah mudah menyempurnakannya untuk membolehkan Harimau Muda mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, Harimau Muda sekali lagi menampilkan aksi garang dan pada minit ke-54, Wan Zack sekali lagi membuat larian menarik daripada sebelah kanan dan dia berjaya menggelecek tiga pertahanan Myanmar bagaimanapun rembatannya sedikit tersasar.
Pada minit ke-57, Thamil Arasu turut mendapat satu peluang di depan gol Myanmar namun penjaga golnya berjaya menepis keluar.
Penyerang Myanmar, Kyaw Ko Ko mendapat peluang terbaik pada minit ke-59 namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol negara, Mohd. Izham Tarmizi.
Pada minit ke-61, Ko Ko sekali lagi menguji Mohd. Izham menerusi rembatan padu namun penjaga gol utama Harimau Muda itu sekali lagi menampilkan kecekapannya dengan melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.
Memasuki minit ke-71, skuad negara hampir menambah jaringan berpunca daripada hantaran lintang Mohd. Irfan namun tandukan Mohd. Fadhli Shas sekadar menggegar palang gol.
Mohd. Izham sekali lagi tampil sebagai watak penyelamat dan kali ini pada minit ke-74 dia sekali lagi melayangkan badannya untuk menepis tandukan padu Kyi Lin.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Junior Eldstal yang menerima umpanan cantik daripada D. Saarvindran tidak mensia-siakan peluang untuk gol kedua Harimau Muda bagi menghadiahkan kejayaan gemilang dengan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Rujukan
: http://www.kosmo.com.my/kosmo.15.9.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan